Ketakutan Melihat Masa Lepas

05/11/2011 § 1 Comment

Saya melihat usaha pendebat masa kini, mencari kekurangan untuk dibaiki dan kekuatan untuk dipelajari. Saya juga melihat usaha alumni dan senior yang sudah bersara; betapa gigihnya mereka datang, melatih dan menegur apa yang patut. Sekurangnya dalam dunia debat yang dekat sekali ini, ada golongan yang masih terus menyumbang bakti. Walau mungkin surat lantikan tidak sampai, atau panggilan telefon yang tidak pernah berdering. Tanpa jemputan rasmi, masih ramai yang datang. Tidak meminta apa-apa, sekadar memeriahkan suasana.Tidak ada apa-apa masalah.

Saya melihat kekurangan pendebat sekarang, daripada segi kajian dan pengetahuan, stratergi dan seni debat, analisis kritikal dan retorik bahasa. Mungkin, bagi saya, inilah generasi terlemah pernah dihasilkan. Maaf, mungkin saya silap. Mungkin, saya meletakkan diri dalam kasut seorang senior dan alumni, bukan dalam diri lama saya, seorang pendebat dan pelajar yang masanya penuh dengan tugasan dan hal akademik. Jadi, biar saya berikan perspektif seorang pendebat dan pelajar (seboleh mungkin).

Mungkin, kalau saya ialah pendebat zaman sekarang. Soal maklumat tidak akan menjadi isu besar, kerana semuanya di hujung jari. Dengan laptop di tangan dan internet yang boleh dicapai hampir di semua tempat. Yang perlu saya lakukan antara sela masa belajar dan bersosial ialah membaca sebanyak mungkin daripada pelbagai sumber dalam pelbagai bahasa yang saya faham (baca: Bahasa Melayu dan Inggeris). Saya mungkin tidak akan membuat apa-apa catatan pun, hanya tekan ‘bookmark’ dan susun dalam folder tertentu. Malah, saya akan gigih membaca isu yang sama daripada pelbagai sumber. Mungkin, bosan membaca saya akan sibuk pula bermain facebook dan twitter, atau menonton You Tube, atau membaca blog ‘Salah Taip’, ‘Jangan Mati Dulu’ dan blog-blog lain. Bila penat, saya akan tidur, esoknya ke kelas, malamnya ke latihan, selebihnya hanya membaca. Atau hanya mungkin saya seorang yang begitu gilakan ilmu maklumat. Takdir Tuhan menjadikan saya begitu membosankan.

Mungkin selepas setiap satu pertandingan, selepas surut marah kepada hakim Madum yang memang selalu berkonspirasi untuk menewaskan pasukan saya, atau marah kepada teman pasukan yang bodoh dan banghal. Saya akan baring, merenung siling dan menutup mata. Membiarkan imaji pertandingan bermain kembali dalam fikiran. Melihatnya daripada perspektif orang luar. Melihat gaya sendiri, mendengar ayat sendiri dan menilai sendiri baik buruk. Mungkin saya akan bangun awal pagi tanpa tidur yang cukup, lelah dengan fikiran sendiri dengan soal-soal ‘Kalaulah aku buat begini’ dan selepas berminggu saya refleksi diri sendiri, keputusan yang akan saya capai sentiasa ialah ‘Aku masih ada yang kurang, dan Tuhan tidak pernah memberi kalau tidak layak’. Dan saya membiarkan semua kekalahan dan kemenangan lepas berlalu, bermula dengan tekad dan semangat baru. Hancur dan bangkit berkali-kali. Ada yang bertukar menjadi phoenix, ada yang kekal sebagai abu.

Mungkin saya akan duduk berbincang dengan senior dan jurulatih. Bercakap dari hati ke hati dan merenung silap masing-masing. Menolak segala ego ke tepi dan membiarkan keghairahan ilmu kembali menguasai diri. Senior bisa sahaja menegur saya, dan saya akan izinkan kalau mereka layak. Mereka tidak perlu jadi senior yang hebat, hanya perlu menjadi senior yang sentiasa menyokong. Mungkin mereka sentiasa memaki saya, tapi ada ketikanya mereka pula di maki saya. Penghormatan saya kepada mereka tidak pernah menidakkan kesilapan mereka, jika mereka berbuat silap. Di akhirnya, senior alumni bukan nabi yang kata ialah sabda dan laku ialah mukjizat. Senior cuma ‘senior’, ada syarat untuk hormat. Tetapi selagi mana mereka benar, dan saya rasional, hubungan ini akan terus berjalan tanpa halang. Kerana, saya kira, menjadi alumni kita lupa sukar junior yang pernah kita lalui. Kita tidak dibentuk melalui satu pertandingan, jangan meminta yang bukan-bukan.

Mungkin rakan pasukan saya malas dan lembap, sehingga terpaksa melindungi mereka setiap kali bertanding. Mungkin yang wujud antara kami ialah persaingan dan perebutan tempat, bukan hormat dan percaya. Mungkin, di depan kami tersenyum antara satu sama lain, dalam hati saling memaki. Mungkin, di luar pertandingan gaya hidup tidak selari. Tetapi dalam pertandingan, kami bertukar wajah dan rasa. Kerana perjuangan bukan soal-soal picisan, tetapi toleransi buruk dan baik bersama. Kimia pasukan? Saya hanya tunjukkan jari tengah.

Saya menulis semua kemungkinan, saya meletakkan diri dalam kasut pendebat seboleh mungkin. Kerana, saya sedar, lama menjadi alumni, saya lupa menjadi pendebat. Lama di angkat sebagai orang lama yang bagus, saya lupa perasaan orang baru yang hendak belajar. Bernanah telinga menghakimi, saya lupa resah di hakimi. Lama menjadi orang yang menasihati, saya lupa dinasihati. Sekian lama memaki, saya lupa rasa dimaki. Selepas lama menghukum keburukan orang, saya lupa kekhilafan sendiri. Atau hanya mungkin saya yang perlu menilai kembali diri. Juga mungkin hanya saya seorang yang melihat debat ini juga soal rasa mendalam, bukan hanya intelektual kontot.

Untuk Debat Gender yang akan berlangsung, Selamat Berjaya!

§ One Response to Ketakutan Melihat Masa Lepas

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Ketakutan Melihat Masa Lepas at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: