Sebuah esei tentang toko

03/01/2011 § 1 Comment

MPH dan Kinokuniya adalah nama besar untuk penggemar buku di Malaysia. Mana – mana batang tubuh  yang mengaku dirinya menggemari buku namun tidak pernah menjejakkan kaki ke dua tempat ini, seolah tukang rumah yang tidak pernah menapak ke kedai perkakas. Tidak lengkap bukan sahaja untuk dirinya malah untuk gelaran yang dipakainya.

Rukun yang teratas dalam komuniti membaca adalah membaca bahan bacaan yang baik untuk jiwanya. Barangkali ada beza yang sukar untuk diucap dan ditulis –melainkan hanya dapat dirasa- antara membaca untuk pengetahuan dan membaca untuk jiwa. Membaca yang dikelaskan untuk pengetahuan ini berhenti setakat kita sedar ada sesuatu yang baru (penambahan); berlaku dalam takat pengetahuan kita. Tidak pula dalam konteks membaca untuk jiwa. Barangsiapa yang berjaya mencapai nikmat membaca untuk jiwa ini, akan merasa kepuasan yang tidak terucap. Efeknya langsung dapat dilihat pada diri; orgasme yang sukar tamat pada jalur pemikiran.

Bercerita tentang sumber dan bahan, di jalan masjid india, ada satu toko yang dijaga seorang India. Di jalan Telawi, barangkali nama Silverfish tidak perlu diulang-sebut dua kali, pasti orang yang mendengarnya tahu. Pekan Frinjan yang berlangsung setiap bulan di Shah Alam juga, adalah destinasi yang baik untuk mencari bahan bacaan. Bookxcess di Amcorp Mall yang terkenal dengan harga dan koleksinya. Sekadar menyebut beberapa nama, ini adalah lokasi yang harus dijelajahi.

Pernyataan rukun pertama pada perenggan dua seharusnya belum sempurna. Bahan bacaan yang baik hanya dapat dicari dari sumber yang baik. Saya tidak mengatakan MPH dan Kinokuniya adalah sumber yang tidak baik. Ada orang berpendapat bahawa berita yang disiarkan oleh penerbit berita alternatif seperti Malaysiakini adalah sumber berita yang baik kerana ia jelas tidak digemari oleh pemerintah. Begitu juga halnya dengan buku; ada orang berpendapat buku yang diharamkan adalah buku yang baik untuk bacaan. Sama kesnya dengan penerbit buku independen. Pendapat ini melarat sehingga membentuk kepercayaan. [dan] kerana inilah, sumber – sumber alternatif tumbuh subur. Dan ada yang tumbuh meliar, maka awas.

Kita sedang menuju ke arah pembentukan komuniti debat yang pendirinya adalah susuk intelektual.  Kita adalah apa yang kita baca. Pendapat, pespektif dan pendirian kita terhadap sesuatu tidak dapat tidak dipengaruhi oleh apa yang kita baca.

Mudah dan kompleks. Kita boleh memilih antara keduanya. Boleh sahaja diambil jalan selamat dengan menjadi seorang yang mudah. Dan untuk menjadi seorang yang mudah; sumber bacaannya adalah satu. Di akhir cerita, golongan ini adalah golongan yang barang pasti berimamkan pemikiran dogmatik. Seterusnya monotonous kerana kegagalan untuk mevariasikan idea. SM Zakir menyebut (atau sebenarnya beliau juga memetik sepertimana saya memetik) ini sebagai sindrom mediokriti.  Masyarakat mediocre menjalani rutin tanpa soal dan mengambil jalan tengah (baca : simplistik). 

Dalam situasi yang bertentangan pula, kita akan menjadi kompleks bila berhadapan dengan sumber bacaan yang pelbagai.  Ketika inilah kemahiran menilai -yang tidak dapat dirasa oleh kategori membaca yang pertama- kita akan dicabar dan diasak secara bersungguh. Arah mana yang harus untuk kita ambil terhadap sesuatu perkara / isu yang diangkat. Membaca dari sumber yang pelbagai ada keburukannya. Sampai pada satu tahap kita akan berhadapan dengan situasi yang sentiasa mempunyai bidasan terhadap idea yang asal (pertama). Keburukan ini; saya sebut sebagai orgasme yang sukar tamat pada jalur pemikiran. Dan untuk lebih klimaks, kita akan bergerak ke tangga yang lebih tinggi; tidak mampu untuk menutur / menulis walau satu ayat kerana status bidasan yang sentiasa wujud. Ramai orang namakannya sebagai ketandusan. You can’t speak / write because there are too many shit in your head. Saat ini tiada yang lebih sesuai (pada saya) melainkan solitud.

Keadaannya sama sekali berbeza untuk mereka yang hidup jauh dari urbanisasi. Usah bicara perihal toko yang mampu menghidangkan bahan bacaan yang baik, untuk mencari toko itupun sudah agak sukar. Ya kita sedang bersampan dalam rahmat gelombang jalur lebar dan informasi semudah satu klik, maka berani untuk saya sebutkan bahawasanya semua pendebat setidaknya mempunyai koleksi digital peribadi.  Namun kewajaran untuk mendapatkan bahan bacaan terus daripada toko masih sesuatu yang perlu.

Untuk itu, perkara yang berikutnya ini adalah satu kemestian. Setiap daripada kita perlu mempunyai toko sendiri. Kecil atau besar bukan menjadi soal yang harus diutamakan, yang penting ia harus ada. Barangkali ini yang menjadi isu Orhan Pamuk (atau saya tersasar melihatnya dari sudut yang wajar) ; perpustakaan saya bukan simbol kebanggaan diri, tetapi balas- dendam-diri dan penekanan *ms:108. Curilah  beberapa persegi dari ruang – ruang bilik asrama dan rumah sewa masing – masing dan bangunkan ia. Tidak semestinya harus ada rak yang cantik. Rohnya adalah; koleksi buku anda – wujud di situ. Ini adalah projek individu yang harus dilancarkan untuk kesejahteraan kolektif. Mulakan dengan sebiji dua buku. Dan tambahi ia secara berkala. Ia adalah simbol keseriusan kita terhadap sikap membaca dan mengasak tatkala alpa (malas). Andai ini dilakukan, setidaknya memberi janji bahawasanya generasi debat yang ada pada hari ini tidak mengulangi kejadian hujah Namawee untuk usul federalisme pada royal 2010; atau kejadian pembinaan dan perdebatan kes prestasi badminton antara China dan Malaysia untuk usul Selat Tebrau Semakin Sempit.   

Perkara yang berbentuk pesanan sebegini pada saya menggelikan. Sangat asas dan tidak perlu dinyatakan kerana ia akan kelihatan semacam membawa idea / semangat yang lain. Seperti ini; sebuah esei yang sewajarnya tentang toko; tetapi di akhir kalam terjelma refleksi kesedihan.  

 

 

 

§ One Response to Sebuah esei tentang toko

  • Fretziel Achmad says:

    Bila tiba masanya untuk punya satu komuniti yang benar-benar segar otak mereka yang ditanam intelek-intelek ilmu bila berhujah. Teringin juga punya satu khalayak massa yang percaya ‘budak debat’ itu bukan budak bijak bercakap semata, tapi bijak juga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Sebuah esei tentang toko at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: