Debat Perkaya Pendidikan, Demokrasi

30/05/2010 § Leave a comment

Saifuddin Abdullah
Utusan Malaysia

PADA 1 hingga 4 Jun ini, Sekolah Menengah Sains Pasir Putih, Kelantan menjadi tuan rumah dua program tradisi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) peringkat kebangsaan iaitu Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (PPM) bahasa Melayu dan Inggeris serta Pertandingan Bola Keranjang Piala Hamdan Tahir (lelaki) dan Piala Hajah Zainab (perempuan).

Debat PPM yang dimulakan pada 1974 di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah pertandingan debat sekolah menengah yang tertua dan terulung. Tetapi, sayang nasibnya tidaklah sepadan dengan statusnya itu.

Kali ini, Debat PPM peringkat kebangsaan tidak menghimpunkan semua 54 buah SBP seperti biasa. Sebaliknya, ia hanya mengumpulkan johan dan naib johan setiap kategori dalam pertandingan peringkat lima zon yang telah diadakan sebelum ini.

Ini berlaku akibat kekangan bajet yang luar biasa pada tahun ini. Namun, di samping faktor kewangan, jika dibandingkan dengan zaman awal penganjurannya, ia kurang mendapat perhatian yang sewajarnya. Dahulu, pertandingan akhir disiarkan secara langsung oleh RTM. Kini, ia sekadar ditonton peserta sahaja.

Dari segi pembangunan budaya debat pula iaitu yang melibatkan sistem, kehakiman dan perdebatan serta minat di kalangan warga SBP, ia tidak menunjukkan kemajuan yang sepadan dengan sejarahnya.

Kekangan bajet juga hampir menamatkan riwayat Pertandingan Debat Sekolah-Sekolah anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pertandingan yang dimulakan sejak 2002 ini adalah satu-satunya pertandingan debat bahasa Melayu, Inggeris dan Arab yang menemukan semua jenis sekolah menengah iaitu SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah menengah harian, vokasional, teknik, agama dan swasta. Mujurlah terdapat aktivis debat yang bertungkus lumus memastikan kesinambungannya pada tahun ini.

Masalah yang sama juga menghambat Pertandingan Debat Keamanan Jemputan Universiti Dunia (WUPID) anjuran H&G yang dimulakan pada 2007. Pertandingan debat bahasa Inggeris ini disertai pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia dan menjadi gelanggang terpenting sebelum berlangsungnya Debat Dunia. WUPID telah berjaya meletakkan Malaysia di peta debat antarabangsa. Tahun ini, kalau tidak kerana ada mereka yang gila debat, maka ia mungkin telah mati sebelum ajal.

Namun, di sebalik segala tribulasi itu, debat tetap subur. Pada 28 Mei hingga 1 Jun lalu, berlangsung Pesta Intelektual dan Hujah (PETAH) anjuran Alumni Debat IPT (ADI) sempena Youth10 di PWTC. Kemuncaknya adalah pertandingan debat lima bahasa (Melayu, Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin) tanpa henti selama 111 jam. Ia satu rekod baru Malaysia.

Menurut Kamus Dewan, debat adalah bertukar fikiran (biasanya yang bertentangan) atau berbantahan berkenaan sesuatu perkara, pendapat dan pendirian, dengan masing-masing pihak mengeluarkan pendapat, alasan dan sebagainya.

Umum mengakui akan kepentingan debat. Kalaupun bukan dalam bentuknya yang lazim dilihat dalam pertandingan, debat juga muncul dalam bentuk lain, misalnya forum (pelbagai tajuk/bidang) dan debat politik.

Asas utama debat adalah pemikiran kritis dan penghujahan. Pemikiran kritis adalah satu daripada tujuh Kemahiran Insaniah (KI) yang diukur dalam kalangan mahasiswa IPT kita mulai tahun ini. Ia digabungkan dengan satu lagi KI iaitu kemahiran berkomunikasi yang antara lain, meliputi kebolehan menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan penuh keyakinan, secara lisan dan bertulis; mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberi maklum balas; serta membuat pembentangan secara jelas dan bersesuaian dengan tahap pendengar.

Menurut Richard Andrews (2010) dalam bukunya, Argumentation in Higher Education,penghujahan ialah ‘urutan idea-idea yang logikal atau kuasa-logikal yang disokong oleh bukti’. Ia melibatkan aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain.

Kedua-dua pemikiran kritis dan penghujahan berada di tengah-tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional. Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) pula, ia adalah penghubung antara tiga komponen utama pendidikan iaitu guru/pensyarah, pelajar dan disiplin ilmu.

Justeru, kita hairan mengapa debat kurang disokong oleh sesetengah pihak terutama mereka yang berkuasa. Malah Sudut Pidato iaitu pentas debat terbuka di IPT juga seperti sengaja tidak dimajukan oleh sesetengah pihak. Manakala perbezaan pendapat bukan sahaja tidak dirayakan iaitu seperti yang sepatutnya, malah sesiapa yang mengeluarkan pendapat yang berbeza berkemungkinan dilabel sebagai pembangkang kalaupun tidak dihukum.

Dalam demokrasi, debat elemen amat penting. Debat politik memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kepemimpinan, perjuangan dan haluan individu atau parti.

Kita juga pernah menyaksikan beberapa debat politik di sini. Contohnya, debat Sekolah Agama Rakyat antara Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Salahuddin Ayub; debat harga minyak antara Datuk Ahmad Shabery Chek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan debat pembangunan Pulau Pinang antara Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Di samping itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Allahyarham Mohd Fadzil Noor pernah berdebat mengenai isu Palestin.

Saya sering berforum di kampus dengan tokoh-tokoh pembangkang seperti Dr. Ramasamy, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Yusmadi Yusoff. Terakhir, pada April lalu, saya berforum di Universiti Malaya tentang demokrasi dan mahasiswa bersama Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook.

Ketika bertanding Majlis Tertinggi UMNO yang lalu, saya antara yang mencadangkan diadakan debat antara calon-calon yang bertanding. Tetapi, ia tidak menjadi kenyataan.

Hakikatnya, debat memperkaya dunia pendidikan dan demokrasi. Soalnya, mungkinkah kegemilangan Debat PPM akan dikembalikan? Mungkinkah akan ada debat politik dalam pilihan raya umum akan datang?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Debat Perkaya Pendidikan, Demokrasi at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: