Insektarium Haiwan Sosial

28/04/2010 § 1 Comment

Kitab himpunan kata umum Bahasa Melayu memberi makna ‘memasyarakatkan’ sebagai memperkembangkan dan menyebarkan sehingga meresap ke dalam masyarakat.

Diskusi bersahaja waktu petang dengan seorang yang lebih tua beberapa minggu lalu mendatangi semula saya sewaktu berjumpa dengan perkataan ‘masyarakat’ lewat pembacaan beberapa hari lalu. Katanya ‘kita mahu memasyarakatkan debat’. Lalu sahaja timbul kata soal dalam diri saya, apakah debat belum mendapat tempat dalam masyarakat sebagai aktiviti hidup (?). Dan andai begitu hakikatnya, mengapa (?).

Debat dilihat sebagai aktiviti eksklusif para intelektual dan sarjana yang berkisar isu kritikal yang memerlukan capaian akal unggul. Salah tafsir ini membawa kepada sikap segan dan takut di kalangan masyarakat; untuk menghampiri aktiviti debat apatah lagi menjadi orang yang berdebat.

Barangkali debat juga biasa dilihat berlangsung di televisyen yang melibatkan set pentas, sistem audio dan hadirin, pertandingan misalnya.  Formaliti ini memberi kulit ekslusif kepada darah dan daging debat.

(Dan) barangkali juga debat biasa disaksikan di parlimen yang berdiri di dalamnya ahli yang mewakili parti siasah masing – masing. Sisi hodoh debat ditunjukkan dengan sikap tidak profesional ahli parlimen. Maafkan saya, debat tidak memiliki sisi hodoh, hodoh itu sewajarnya merujuk kepada sisi ahli parlimen. Sisi hodoh ini seterusnya mendatangkan tanggapan negatif kepada masyarakat terhadap bagaimana sesuatu debat itu berlangsung – penuh dengan maki hamun dan cacian.

Masyarakat semacam memiliki ‘suatu’ tanggapan terhadap perkataan ‘debat’. Seolah debat adalah aktiviti yang dimainkan oleh kelompok manusia tertentu dengan gaya tertentu dalam suasana tertentu dan di tempat tertentu.

Walau apapun tanggapan yang membentuk sikap masyarakat, debat lahir daripada inkuiri yang membawa kepada perasaan ingin tahu. Kehidupan tidak pernah memberi kepuasan kepada kegilaan akal dalam berfikir. Setiap masa ada sahaja persoalan yang lahir terhadap sesuatu. Debat adalah aktiviti yang menjadi medan untuk kita berlawan idea yang akhirannya adalah jawapan kepada kehendak persoalan. Kehebatan pengaruh perasaan ingin tahu ini telah dibuktikan dalam sejarah Renaissance yang memperlihatkan kaum manusia bangkit daripada kegelapan. Adilnya tuhan; Dia menyuntik perasaaan ingin tahu dalam diri semua manusia.

Saya tidak mahu berselindung; bahawasanya saya teruja untuk mengikuti aktiviti debat yang bakal berlangsung hujung bulan Mei nanti. Ia digelar dengan nama Pesta Intelek dan Hujah (PETAH). Acara ini yang bakal menyediakan platform bukan sahaja kepada aktiviti debat, namun juga platform pidato dan forum; adalah salah satu acara untuk memasyarakatkan debat. Ruang dan peluang dibuka kepada masyarakat umum.

Perkataan ‘pesta’ itu sendiri memberi kata makna jelas kepada masyarakat sebagai ‘bersuka – ria’. Manusia yang tidak mahu mengubah paradigma barang pasti tidak bersetuju perkataan debat dinaungi perkataan pesta. Dek kerana aliran fahaman sebeginilah debat kekal dilihat sebagai aktiviti eksklusif. Pesta boleh sahaja dilihat sebagai sambutan meraikan sesuatu. Dan acara ini, adalah acara untuk meraikan idea dan buah fikiran masyarakat Malaysia. Kita seharusnya bersuka-ria tatkala masyarakat sekeliling sanggup untuk berkongsi ilmu.

Filsuf Greek menyebut manusia adalah haiwan sosial; maka begitu PETAH ini adalah insektarium. PETAH bukan sahaja wadah perkongsian, malah akan menjadi sarang kajian dan penyelidikan. Kita akan dapat melihat dan menilai sejauh mana masyarakat Malaysia bersedia untuk terlibat dengan ruang diskusi. Kita akan dapat mendengar dan menghimpun buah fikiran segar yang bersarang lama dalam benak masyarakat. Kita akan dapat melihat bagaimana isu-isu yang bakal dibincangkan nanti dikupas satu-persatu.

Suara umum masyarakat Malaysia yang bakal datang dari pelbagai latar nanti akan menjadi dokumen klasik yang bersejarah untuk tatapan umum seratus tahun akan datang. Itu (dokumen klasik) adalah cerita abad akan datang, cerita yang ada sekarang adalah dokumen itu seharusnya menjadi bukti bahawa generasi sekarang adalah generasi yang sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu, dan berani mencari jawapan. Pun begitu dokumen yang dimaksudkan itu masih kosong dan bebas daripada sebarang catatan – sehinggalah masyarakat (anda) menjadi sebahagian daripada isinya.

Tulisan ini adalah tulisan pendek-tunggang-langgang yang tidak berniat untuk menjadi ejen promosi acara PETAH. Tulisan ini adalah ekspresi keterujaan yang mahu melawan hukum masa agar dipercepatkan; sebolehnya esok adalah hari pertama PETAH dan kita bisa berpesta!


§ One Response to Insektarium Haiwan Sosial

  • mr_bo says:

    Susunan kata-kata yang cukup baik dan berskala tinggi.

    Semoga, acara pemerkasaan debat dalam penganjuran PETAH, insyaALLAH bakal memberi pelbagai inspirasi dan dinamisme idea dalam perkembangan ilmu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Insektarium Haiwan Sosial at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: