PENITI V, Mesej Orang Muda dan Rentas Masa

23/03/2010 § Leave a comment

PENITI V sudah berakhir. Biasa – biasa sahaja; ada yang menang dan ada yang kalah. Semua lapangan yang berlangsung atas nama ‘pertandingan’ – sama hukumnya. Tentang PENITI V 2010, yang paling menarik adalah temanya.

Isyarat awal yang ditinggalkan oleh pengelola laman sesawang mindamind di bahagian akhir artikel makluman program PENITI V 2010, saya kira perlu dipenuhi. Adab menumpang (walawei..).

I

Temanya sahaja sudah cukup untuk melambangkan rangkuman keseluruhan PENITI V.

Kewibawaan Pemimpin Pemacu Kegemilangan Negara

Bicara lanjut soal tema, setuju untuk saya katakan bahawa ia amat bersesuaian. Tema yang menjadi benih kepada PENITI V 2010 ini kemudiannya membesar membentuk tajuk-tajuk pidato yang dicadangkan sebagai paksi hujahan para orator. Kredit (lagi) kepada penganjur kerana mereka menambah rencah kepada bidang seni tanah air. Selain daripada seni pengucapan awam, seni penganjuran juga adalah cabang yang punya nilai estetik.

PENITI V perlu dilihat dari skop yang lebih luas. Sudut pandangnya harus melebihi capah  ‘pertandingan’ mahupun ‘pelengkap kalendar’.  Usah bataskan pemahaman; maka ia wajar melangkaui garis ‘aktiviti intervarsiti’. Bukan itu kadaran yang layak untuk diberikan kepada PENITI V. Program ini adalah projek inteligensia yang punya visi kudus – menghantar mesej!

II

Kita sedia maklum bahawasanya di mana – mana negara pun, tidak dapat tidak wujud lapis – lapis masyarakat yang tidak diberi nama. Sistem kasta dan dasar aparteid adalah dua model nyata yang punya nama; ditentang seisi global. Realiti yang barangkali sensitif untuk diungkit di kesempatan ini adalah bahawasanya di Malaysia juga wujud lapis – lapis masyarakat, cuma tidak diberi nama. Dan kerana lapis – lapis inilah, suara golongan marhaen sukar (dan ada tikanya tidak langsung) didengar oleh golongan peneraju pemerintahan.

Soal – soal akauntabiliti, integriti, good governance, korupsi, perlembagaan dan bermacam perihal berkaitan negara lagi adalah isu yang diangkat kepada tahap yang lebih kritikal; lantaran masyarakat umum  kini sudah semakin dalam pemahamannya terhadap ilmu. Kesilapan yang berlaku dalam / kepada sistem yang berpunca daripada golongan pengurus sistem akan cepat disedari dan dikesan oleh masyarakat umum.

Justeru, bertitik tolak daripada masyarakat umum yang kini berilmu, golongan (baca : kita) ini akan punya rasa dan keinginan untuk menegur  sistem yang tidak diuruskan dengan betul. Dan kerana itu seawal tadi saya berani untuk katakan bahawasanya PENITI V adalah projek inteligensia yang punya visi kudus. PENITI V adalah instrumen untuk menghantar mesej kepada pemerintah. Dan apa yang lebih menarik, program ini datang bersamanya adalah idea – idea segar dan pendapat orang muda yang disampaikan melalui pidato. Lihat sahaja tajuk – tajuk pidato PENITI V. Barang pasti ia berkisar tentang kepimpinan dan pengurusan negara!

Berbalik kepada soal lapis – lapis masyarakat. Saya kira gugusan pemikiran yang melahirkan kata – kata ‘merakyatkan pemimpin’ seperti mana yang dipetik daripada ucapan aluan Pengarah PENITI V 2010 sungguh bermakna. Barangkali golongan pemimpin yang asal usulnya juga daripada golongan marhaen ini, terlalu eksklusif letak duduknya sehinggakan payah untuk didekati. Khalil Osman menulis ‘tiada revolusi yang mungkin tanpa kepimpinan yang bersifat revolusi‘ dalam eseinya suatu masa dahulu. Ayat ini seharusnya tepat untuk mengajak para pemimpin lokal berubah; lebih mendekati rakyat. Dan ini (kata-kata ‘merakyatkan pemimpin’) juga sebenarnya mesej!

III

Masa tidak statik. Sirkulasinya tetap pada kadaran yang sama. Tempoh seminit ketika dua puluh tahun yang lampau adalah sama dengan tempoh seminit ketika sekarang ini. Maka begitu, tempoh masa tidak berubah. Yang berubahnya adalah cara hidup manusia.

Katakan zaman sekarang ini, adalah zaman reformasi; yang semuanya menuntut kepada pembaharuan. Anda yang sedang membaca ini barangkali bukanlah orang yang gemar kepada demonstrasi jalanan, tunjuk perasaan, piket, protes, dan segala macam lagi bentuk yang dipanggil sebagai saluran bersuara. Setiap daripada kita punya cara tersendiri. Anda adalah golongan yang punya metod tersendiri. Anda adalah golongan yang berada dalam seni pengucapan awam!

Rentas masa melahirkan suasana dan persekitaran baru. Apalah salahnya andai kita angkat seni pengucapan awam ke satu lagi tahap. Tahap di mana apa yang anda suarakan, dijadikan sebagai idea kepada pembentukan hala tuju, dasar dan polisi kerajaan. Sampai bila seni pengucapan awam mahu dilihat sekadar seni?

Barangkali bulan Mei dan Jun yang bakal tiba nanti, akan menjadi titik mula untuk satu lagi pembaharuan dalam seni pengucapan awam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading PENITI V, Mesej Orang Muda dan Rentas Masa at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: