Debat: Kaedah (Form) untuk kemudahan bukan kesusahan.

11/03/2010 § Leave a comment

Keghairahan untuk mengajar dan membimbing ahli keluarga yang baharu juga bahaya. Sehinggakan ada yang terlupa, proses pengajaran dan pembelajaran itu panjang dan tidak mudah.

Saya masih mengingati hari pertama saya dan rakan-rakan semester pertama lain melangkahkan kaki ke bilik[1] latihan debat. Semua orang ketika itu begitu gembira melihat gerombolan pelajar baru yang menunjukkan minat untuk menyertai debat.

Jarang sekali di dalam hidup ini saya dan rakan-rakan rasa seperti begitu dihargai dan diterima masuk ke dalam sebuah keluarga yang besar. Biasanya, akan sukar bagi orang baru untuk merasakan dirinya diterima. Tetapi keluarga ini lain. Mereka sentiasa dahagakan orang baru yang ghairah untuk belajar bersama-sama dengan mereka. Saya tahu, kerana kini saya dan kebanyakan daripada anda semua adalah sebahagian daripada keluarga ini.

Tetapi saya sentiasa berwaspada dengan keghairahan ini. “Ghairah” sentiasa merbahaya. Tidak kira ghairah untuk apa sekalipun.

Keghairahan untuk mengajar dan membimbing ahli keluarga yang baharu juga bahaya. Sehinggakan ada yang terlupa, proses pengajaran dan pembelajaran itu panjang dan tidak mudah. Saya dan anda perlu SABAR!

Sabar adalah rukun disiplin asas di dalam kehidupan. Kita perlu sabar dalam semua perkara. Belajar, beramal, bercinta dan apa-apa sahaja. Kalau tidak sabar, pasti ada bencana menunggu kita.

Pengajaran dan pembelajaran debat juga menuntut kesabaran daripada yang membimbing dan yang dibimbing.

Tidak ada jalan mudah untuk sesiapa sahaja, marhaein[2] mahupun borjuis[3]. Semuanya harus tahu. Untuk melengkapkan diri dengan kemahiran berdebat, kita semua harus melalui jalan yang sukar. Sangat sukar. Kalau anda tidak merasai kesusahan itu, anda insan yang magis dan luarbiasa. Anda pasti akan menerima Hadiah Nobel sebelum anda meninggal dunia.

Kerana memahami kesukaran yang harus dilalui oleh semua insan yang ingin melengkapkan diri mereka dengan ilmu perdebatan ini, generasi-generasi lama di dalam debat telah mencuba pelbagai cara untuk memudahkan proses pembelajaran ini. Malah, usaha mereka tidak terhenti di situ semata-mata. Mereka juga telah melahirkan pelbagai teknik agar penonton dan penilai debat lebih mudah untuk memahami dan mendekati debat.

Titik peluh mereka inilah yang akhirnya melahirkan pelbagai kaedah yang ada di dalam dunia perdebatan kini.

Antara kaedah-kaedah yang selalu kita dengar adalah pembahagian definisi literal dan konseptual, kayu ukur, premis, jujukan penghujahan, pembahagian bidasan konsep dan hujah, , analisis kemandirian kes, timbangtara perdebatan dan pelbagai lagi kaedah-kaedah yang lain.

Kaedah-kaedah ini cukup asing kepada saya ketika saya mula-mula menjejakan kaki ke dalam dunia debat. Malah masih ada banyak lagi kaedah-kaedah yang kekal asing kepada saya. Saya perlu mempelajarinya.

Ramai di antara kita yang mempunyai kelebihan untuk disuapkan dengan kaedah-kaedah yang telah tersedia. Malangnya, proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak berteraskan kesabaran akan menyesatkan kita.

Ramai di antara kita yang diajar tentang kaedah yang ada. Tetapi sangat sedikit yang diajar tentang apakah kaedah itu dan bagaimana untuk menggunakan mereka. Tradisi serkap jarang ini membinasakan. Bukan semua kaedah ini terpakai setiap masa.

Kerana itulah saya tidak pernah berjaya menjawab soalan adik-adik debat yang bertanya kepada saya apakah “Format ataupun Kaedah” debat. Debat tidak ada form yang spesifik. Seninya halus dan istimewa.

Premis bahawa debat tidak ada kaedah “form” inilah yang menyebabkan saya tertanya-tanya bagaimana boleh ada adik-adik kita diajar dan disuapkan dengan nota yang mewajibkan mereka mengamalkan sesuatu kaedah pada setiap masa.

Ramai yang mengangap bahawa semua Perdana Menteri perlu melakukan pembahagian definisi literal dan definisi konseptual. Saya merasakan tanggapan ini benar tetapi kita juga mempunyai pilihan untuk melakukanya sekaligus. Bukankah cara ini akan menjimatkan lebih masa. Adakah 30 saat daripada 7-8 minit itu tidak berharga?

Saya pernah diajar bahawa definisi konseptual perlu dilakukan dengan menggunakan kaedah kayu ukur. Ini mencurigakan minda kerdil saya. Kayu ukur ini ini di dalam bahasa inggeris membawa maksud yardstick. Yardstick ini didefinisikan di dalam Kamus Oxford sebagai “a measure or standard used for comparison” ataupun “a tool used to physically measure lengths of up to a yard”. Maknanya untuk mengukur. Adakah semua perkataan di dalam usul perdebatan perlu diukur? Saya pasti tidak. Bagaimana saya hendak mengukur Malaysia, Perlu, Pisang, Krisis MCA dan 1001 lagi perkataan atau kata nama khas yang boleh digunakan di dalam usul perdebatan.

Sekiranya boleh diukur sekalipun, saya tidak merasakan bahawa ia adalah wajib. Perlu boleh diukur, contohnya tahap keperluan yang berbeza. Tetapi pendebat sepatutnya berhujah tentang perlu atau tidak perlu dilaksanakan sesuatu cadangan itu, Bukanya berdebat sesama sendiri tentang tahap keperluan sesuatu perkara.

Timbangtara. Ramai orang menyebut timbangtara perdebatan ini jelas berpihak kepada kami. Tetapi sangat sedikit yang melakukan timbangtara. Mengapa perdebatan itu berpihak kepada kamu? Sebab kamu menyebut timbangtara!

Hal yang sama berlaku apabila kita menggunakan analisis kemandirian kes. Kaedah ini digunakan untuk menunjukan kepada penonoton tentang kes siapa yang masih bertahan selepas habis perdebatan. Maka untuk menggunakan kaedah ini kita perlu memahami tentang pembuktian kes dan juga persoalan serta serangan yang telah diajukan kepada kes pihak lawan dan kes kita sendiri. Siapa yang berjaya membuktikan kes mereka dan menjawab semua persoalan serta serangan. Kes dialah yang mandiri.

Apakah pula kes?

Untuk mengetahuinya anda perlu belajar. Ya, Belajar! Perkataan paling klise’ dalam debat. Namun itulah yang harus dilakukan oleh semua.

Saya juga masih belajar. Inilah perkara yang perlu dilakukan oleh semua. Tidak kira yang mendidik ataupun yang dididik.

Kerana kemalasan kita untuk belajar inilah kita kekal mundur dan keterbelakang.

Kemalasan inilah yang menyebabkan kita gagal untuk menggunapakai kaedah-kaedah ini bagi memudahkan kita di dalam debat.

Kemalasan inilah yang menyebabkan adik-adik kita merasa sangat sukar untuk menterjemahkan pemikiran mereka.

Kerana kemalasan inilah, debat sukar difahami oleh masyarakat umum. Kerana di mata mereka kaedah-kaedah yang ada ini menyukarkan mereka untuk memahami perdebatan.

Walhal kaedah-kaedah inilah yang sepatutnya memudahkan mereka memahami perdebatan.

Lebih daripada itu, kaedah-kaedah inilah yang sepatutnya memudahkan kita dan bukan sebaliknya.

Bukan begitu?

Mont @ Nizamuddin Abdul Hamid

1600 Hrs 26 November 2009

p.s. Saya masih lagi tertanya-tanya bila saya dan adik-adik saya hendak mencipta kaedah kami sendiri. Mungkin kemudahan membunuh kreativiti kami.

Nota :

[1] Mana-mana ruang kosong, terbuka atau tertutup di dalam kawasan Universiti termasuk saliran dan pembentungan

[2] Pelajar-pelajar yang hanya mendapat pinjaman PTPTN

[3] Pelajar-pelajar yang mendapat tajaan syarikat-syarikat swasta, masih lagi meminjam PTPTN dan tidak   segan untuk meminta wang daripada ibu-bapa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Debat: Kaedah (Form) untuk kemudahan bukan kesusahan. at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: