PABM 2010 : Satu Ulasan Tempelen Dari (Satu) Fragmen Linguistik

06/03/2010 § Leave a comment

Berakhirnya Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu edisi 2010 semalam langsung tidak memberi makna. (Sambungan dan abaikan titik noktah sebelum pembuka kurungan)  bahawasanya penghargaan terhadap Bahasa Melayu akan berakhir.  Bahasa Melayu akan terus dihargai dan diraikan. Dan semalam adalah salah satu cara untuk meraikan Bahasa Melayu.

Tahniah diucapkan kepada Zhang Song dari China yang menjadi johan pertandingan itu untuk Kategori Antarabangsa dan Mohd. Syazwan Shuhaimi dari Malaysia yang menjadi johan Kategori Nusantara. Tahniah  kepada Natalya Budanova, Rusia(Naib johan) dan Josee Hunnekes, Jerman(tempat ketiga) Kategori Antarabangsa. Tahniah kepada Chai Lany Sles, Kemboja(Naib Johan) dan Leonora Lydia Gebby Wentuk, Indonesia(tempat ketiga) Kategori Nusantara.

Dan tahniah juga kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Andai kemenangan dapat menjadi penyumbang kepada rasa cinta terhadap bahasa, teruskan dan tidak salah. Manusia menggelarnya dengan istilah ‘motivasi’. Andai kekalahan dapat menjadi penyuntik semangat untuk terus belajar memahami bahasa, juga teruskan. Pahlawan tidak semestinya bersenjata besi, dan para peserta PABM 2010 kali ini munasabah untuk kita angkat sebagai pahlawan bahasa. Tahniah.  Dan terima kasih kepada 5o buah negara luar yang menyertai program yang dianjurkan di Malaysia ini.

bahasa yang degil akan mati

-tanpanama-

Ungkapan di atas barangkali dicipta oleh manusia yang berkepentingan. Menjadi momok yang menghantui pemikiran pencinta bahasa, setidaknya mereka yang sayangkan bahasa (ehem, cinta dan sayang adalah berbeza).  Sifat degil dalam ayat momok di atas letaknya yang sebenar adalah pada orang (baca : badan/institusi) yang menguruskan (baca : membekukan) sesuatu bahasa. Kejam – golongan ini melarikan titik fokus dengan meletakkan pemberat kepada bahasa, dengan harapan agar masyarakat tidak akan mengesan bahawasanya merekalah yang degil (hakikat). Selingan logik – bagaimana pula sesuatu bahasa mampu untuk memiliki sifat dengan sendirinya? Cantik, puitis dan berterabur adalah sifat yang diletakkan oleh orang yang menutur / menulis bahasa tersebut. Andai puitis orangnya, maka puitislah bahasa yang ditutur / ditulis olehnya.  Andai degil orangnya? Paradoks – oh ya, pun begitu orang yang cantik tidak pula menjanjikan bahasa yang cantik.

ketika kamu membaca ini, ada bahasa yang sedang mati dibunuh

saharil hasrin sanin

Saharil adalah seorang yang realis. Begitu juga kita, perlu begitu. Wacana, bengkel, kolokium, penulisan, dan sebagai macam alternatif lagi realitinya gagal untuk menyekat mortaliti bahasa. Ada sahaja bahasa yang ‘dimatikan’ dan kalau hidup pun, barangkali nazak. Tatkala kita sibuk bicara soal bahasa dibaluti emosi yang sentimental dan penuh keinsafan (seperti keadaan saya sekarang ini, kononnya), garis kematian semakin merapati bahasa. Mortalitinya dapat dilihat pada contoh yang menjadi bukti semasa – papan tanda, nama jalan, hasil tulisan dan sebagainya. Ya klise. Klise sekalipun, namun masih, ia adalah realiti. Dan kelak, kematian mutlak bahasa kita akan berlaku yang mungkin (sekadar) diiringi tangis dan kemudian wacana mahupun kolokium bertajuk ala – ala ‘Sebab Mengapa Bahasa Kita Mati’. Sungguh. Sungguh kasihan. Jangan. Jangan tafsir perenggan ini sebagai idea untuk menidakkan peranan wacana, kolokium dan sebagainya. Sumbangan masih ada, namun ia bukan penyelesai (yang dapat menyekat kematian bahasa). Wujud kekosongan di antara alternatif (usaha) dan bahasa. Kita gagal untuk untuk mengisi keperluan terhadap kekosongan tersebut. Carinya di situ. Dan saya kadangkala sesat.

Bahasa Arab kekal kerana tuhan kurniakan kitab terakhir

-joseph florent-

Kita terlepas satu pemberian tuhan. Bangsa kita tidak dianugerahkan wahyu dari langit untuk ditulis dalam bahasa sendiri yang kemudiannya menjadi kitab.  Teks yang menjadi isi kitab rujukan terakhir ditulis dalam Bahasa Arab. Nahu yang kaya dengan sintaksis, morfologi, tatabahasa dan sebagainya dalam kitab terakhir sepenuhnya adalah berbau Arab. Dan, ditutur pula oleh umat manusia yang merentas sempadan bangsa. Andai suatu masa nanti bangsa Arab pupus sekalipun, bahasanya tetap hidup! Namun kita? Bahasa Melayu akan mati selari dengan kepupusan bangsanya (andaian perbandingan). Kita tidak memliki kitab bahasa sendiri yang setiap fragmen ayatnya wajib menjadi bacaan harian dalam ritual. Kita tidak punya kitab bahasa sendiri yang hukumnya wajib dirujuk dalam setiap aktiviti kehidupan. Maka kerana itu, walaupun kita tidak memiliki kitab yang diwajibkan untuk menjadi simpanan umat manusia yang merentas bangsa, kita perlu untuk mewujudkan  / mengeluarkan buku – buku dalam bahasa kita. Sebagaimana yang dilakukan Jepun. Tidak dapat tidak bangsa lain perlu belajar Hiragana, Katagana dan Kanji semata – mata untuk belajar teknologi Jepun. Mereka geliga. Kerana mereka sedar mereka tidak dianugerahkan tuhan dengan kitab dari langit, maka mereka cipta kitab – kitab sendiri yang menjadi rujukan wajib umat manusia seluruh dunia yang mencintai teknologi. Kita juga perlu begitu. Sekarang ini ada, namun masih, belum mampu menyekat mortaliti bahasa kita.

keaslian yang mutlak adalah konsep yang paling mengarut

ferdinand bell

Atas dasar meraikan kepelbagaian, maka kita perlu untuk mengambil kira pandangan dari sudut yang bukan satu.  Satu pihak berfamahan bahawasanya bahasa kita tidak perlu menceduk bahasa luar demi mempertahankan keaslian. Tidak perlu memelayukan bahasa asing kerana kelak jiwanya tiada (ehem, famili dan keluarga, oportuniti dan peluang). Satu pihak lagi berfahaman kita perlu fleksibel- ceduk bahasa asing. Saya perlu akur, keduanya bertekak yang tiada penghujung, dan pemenangnya adalah golongan muda. Golongan muda adalah golongan pemenang yang paling berjaya meraikan bahasa. Mereka ini setiap hari mencipta bahasa baru untuk disesuaikan dengan ruang masa dan tempat. Bahasa ringkas, bahasa pasar, bahasa SMS, bahasa kontemporari, bahasa jargon dan pelbagai lagi. Dan bahasa ini hidup subur dalam penulisan yang digelapkan oleh arus perdana. Subur berbunga. Kembali kepada soal keaslian mutlak, ia sebenarnya konsep yang paling mengarut. Tidak wujud pun. Dalam konteks bahasa, semua bangsa (sila maklumkan saya seandainya tiada, terima kasih) memiliki bahasa yang sekurang – kurangnya paling tidak sebutir patah perkataan (mesti) adalah berasal dari bahasa lain.

Konklusi?

Tidak ada konkulsi. Saya mahu tinggalkan tulisan ini tanpa konklusi. Perenggan – perenggannya juga membidas sesama sendiri. Penuh paradoks dan dikotomi. Buat saya jadi rawan. Buat anda jadi mual.

.

.

.

.

.

nota kaki :

  1. Saharil Hasrin Sanin, Teroris Bahasa.
  2. Tanpanama, Konstituen
  3. Joseph Florent – yang ini saya tipu, kerana kita ini mudah meletakkan wibawa pada hasil tulisan andai adanya autoriti, tambahan pula bilamana berjumpa dengan nama – nama yang agak pelik. boooo~~!
  4. Ferdinand Bell – yang ini juga. Namun serasa saya wujud kata – kata yang seumpama ini. saya lupa siapa dan di mana. booo~~~!

(ehem,usah terlalu serius, anggap sahaja tulisan ini satu eksperimen yang main – main. Namun, bahasa? – bukan sesuatu yang main – main. Semoga tuhan rahmati kita, dan bahasa kita)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading PABM 2010 : Satu Ulasan Tempelen Dari (Satu) Fragmen Linguistik at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: