Batu Nisan Untuk Minda Dan Secawan Kopi

05/02/2010 § 1 Comment

Tamadun Yunani yang wujud lama dahulu sememangnya punya memori bermakna dalam sejarah. Ketika itu, ketika hidupnya susuk bernama Socrates, Plato, Aristotle, Perikles dan ramai lagi yang seangkatan, perdebatan adalah sesuatu yang pasti; sebagai makanan harian. Kalau tidak berdebat, mereka ini boleh mati barangkali! Perdebatan tatkala itu bukan omongan yang penuh dengan retorik bahasa, namun isinya bertunjangkan paksi pemikiran unggul dan refleks kepada intelektual.

Dan pada hari ini, kita tidak perlu untuk menjadi Socrates Jr. ataupun Plato Jr. Cukup sekadar kita teladani sikap mereka yang suka membaca. Menelaah kitab bagaikan si lapar yang kebuluran. Dan kemudian hadam menjadi darah daging dalam tubuh.

Sedikit imbauan, sejarah perdebatan peringkat komuniti akademik iaitu intervarsiti di negara kita tidaklah sehebat sejarah perdebatan Tamadun Yunani yang merentasi banyak zaman. Namun relevan untuk kita katakan,  tempoh umur perdebatan intervarsiti di negara kita sudah melepasi akhil baligh; kalau metaforanya orang lelaki, maka sudah bersunat.

Situasi ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Terutama oleh mereka yang menjadi sebahagian daripadanya. Pendebat, hakim, jurulatih, penyokong, penganjur waima penjaga masa dan urusetia yang menguruskan penempatan sekalipun.

Pun begitu, umur sejarah perdebatan intervarsiti yang berada di fasa matang, tidak disusuli oleh ejen – ejen yang bersedia untuk matang. Dan ejen – ejennya adalah apa yang disebutkan dalam perenggan di atas. Di kesempatan tulisan ini, kita pakukan fokus terhadap ejen yang paling utama – pendebat.

Hakikat yang perit untuk diterima; golongan pendebat ini tidak faham erti membaca. Dan bila tidak faham erti membaca, bagaimana mungkin mereka mampu bernafas dan melihat dari kaca mata pendebat (di sini, letakkan tanda soal- ‘?’). Apabila berbicara perihal membaca, ia sama sekali merangkumi ‘baca, analisa, faham’. Usah letakkan penanda aras rendah terhadap makna membaca sebagai : membaca.

Bertitik tolak daripada itu, maka lahirlah pendebat yang hidup atas kerangka retorik bahasa, tiada fakta, ada fakta namun salah tafsirannya, sukar mengulas usul, dan sebagainya. Oh ya, dan apa yang lebih sadis adalah pendebat yang bersikap dogmatik; sumbernya adalah dirinya sahaja, kepercayaan dan pemahaman sendiri diangkat sebagai yang teratas.

Ya, kita perlu menerima (dan meraikan) realiti bahawasanya dalam dunia debat intervarsiti ada pendebat baru. Yang mahu mula belajar berjalan. Jadi terlencong, terlanggar dan terjatuh akibat tersepak batu adalah biasa. Pun begitu, kalau benar kita berpegang pada perkataan ‘belajar’, maka konotasi ‘bersungguh’ perlu hadir bersama; berlajar bersungguh!

Justeru, falsafah belajar bersungguh dapat dilihat melalui praktis. Salah satunya ialah membaca. Bersungguh?

Bukti empirikal dapat kita tonton semasa berlangsungnya sesi perdebatan di sesuatu kejohanan debat. Andaikan ia sebagai Debat Diraja – debat terulung peringkat intervarsiti di negara ini. Ada sahaja situasi di mana perdebatan yang ditonton itu, kita rasakan kosong melebihi tahap vakum. Bukti kedua ialah komen hakim, pasti benar wujud komen ‘oh ya..saya berharap isu ini perlu difahami, jadi banyakkan membaca’.

Sedari atau tidak , postmodernism (yang kita hidup di zamannya sekarang ini) menuntut untuk kita berhijrah daripada norma biasa, dan kreatif dalam segenap hal. Dan serunya juga meresap ke dalam aspek pengayaan minda. Kita tidak lagi mengamalkan pembacaan yang terhad kepada satu sumber (katakan ia sebagai arus popular perdana). Untuk menjadi fleksibel dan ngam dengan ruang diskusi, pembacaan perlu berkiblatkan punca yang variasi. Barulah gambaran keseluruhan terhadap sesuatu cerita / isu, dapat kita faham dan kemudiannya ulas dalam perdebatan dari perspektif yang tepat; bukannya persepsi (baca : dangkal).

Berapa ramai yang meletakkan misi dalam galur harian tentang apa yang mahu dibaca, dan menyudahkan bacaan? Baiklah, saya cuba untuk bersikap optimis dengan menggambarkannya sebagai ramai. Dalam keramaian itu pula, berapa ramai yang meletakkan target untuk faham secara mendalam tentang apa yang dibaca  sebagai objektif pembacaan? Atau baca sekadar baca; meleret pandangan dari satu baris ke baris yang lain, dan berpindah ke helaian lain. Dan, di kalangan yang faham terhadap apa yang dibaca itu pula, berapa ramai yang mampu untuk luahkan dengan tertib, mengolahnya supaya bersesuaian  dengan penceritaan hujah? – Ya, banyak prosesnya, dan andai kata proses yang pertama (membaca) pun gagal untuk dilakukan, bagaimana mungkin kita mampu behujah tentang sesuatu isu?

Kiranya pasti, kita mahu membangunkan sebuah komuniti debat yang intelek, maka pengayaan minda adalah prasyarat utama dan perlu kepada perlaksanaan. Asasnya mudah, membaca. Usah biarkan minda – minda yang menyorok dalam kepala bersarang hanyir. Sedut dan hirup bait yang terselit kata puitis Chairil Anwar di dalam tulisan Diponegoro ;

..Ini barisan tak bergenderang-berpalu
Kepercayaan tanda menyerbu.
Sekali berarti
Sudah itu mati.
MAJU.. (!)

Atau.

Apa perlu kita pacakkan nisan ke atas minda – minda yang ada ini sebagai simbol berkabung? – Meraikan generasi bebal yang bakal menjadi intelektual tuli.

Saya tidak rela. Anda, mungkin.

§ One Response to Batu Nisan Untuk Minda Dan Secawan Kopi

  • nouirs says:

    Siapa yang sanggup memacakkan batu nisan, kalau bukan kerana kurang mengetahui…. Terima kasih atas teguran…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Batu Nisan Untuk Minda Dan Secawan Kopi at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta

%d bloggers like this: