Orator dan Fakta

17/03/2011 § 6 Comments

Minggu sudah PABM berakhir dengan sorakan gembira penyokong-penyokong pemidato negara apabila saudara Amiruddin dinobatkan sebagai johan kategori nusantara sekaligus mempertahankan gelaran tersebut untuk kali yang ke empat berturut-turut. Gelaran johan Antarabangsa pula diraih oleh pemidato dari Turki saudara Halil Ibrahim yang juga merupakan penuntut dari Universiti Istanbul.Tahniah kepada kedua-duanya.

Menariknya tahun ini berbanding tahun-tahun sudah adalah kita dihidangkan dengan teks pidato yang penuh dengan isi dan fakta.Kali ini pemidato-pemidato dari luar negara sudah kurang mengagungkan lenggok dan persembahan tapi lebih kepada isi dan bahan untuk dipertontonkan. Pada hemah saya, ini merupakan suatu perkembangan yang sangat positif dalam perkembangkan seni orator negara. Tahniah buat semua.

Di bawah saya sisipkan bersama salah satu teks ucapan pemidato PABM yang mungkin boleh buat kita sedar tentang keindahan bahasa, tentang orator itu bukan sekadar suara, ia seni yang indah untuk diterokai semua.

BANGSA BERILMU BANGSA BERTAMADUN

Firman-firman Tuhan yang menggetar jiwa dalam kitab paling mulia, Santun bahasa Pali yang menggubah Tripitaka bacaan setiap penganut Budha, atau helai-helai Veda yang dialun jadi lagu oleh pengamal ajaran Hindu, juga baris Injil yang cekal dihayati pengikut ajaran triniti. Semuanya membentuk sebuah dogma yang sama. Ilmu wajib diteroka. Seawal Adam dicipta, saat itulah penerokaan ilmu bermula dan terbinalah tamadun manusia.Kerana itu percayalah,

BANGSA BERILMU BANGSA BERTAMADUN.

Dr. Sayyid Wahid Akhtar dalam rencananya, The Islamic Concept of Knowledge mendefinisikan ilmu sebagai teori, praktikaliti dan proses pendidikan tanpa henti.

Tamadun atau civilization diambil dari perkataan latin ‘Civilis’ yang bererti warganegara yang berpadu dalam kerangka politik, ekonomi, social dan organisasi agama bagi membina Negara maju dari setiap penjuru.

Maka, ‘Bangsa Berilmu, Bangsa Bertamadun’ mendesak atau untuk merungkai dan menilai kemampuan ilmu untuk membentuk individu, masyarakat dan negara.Ketiga-tiga entity inilah yang akan menjadi kerangka pembawaan pidato saya.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Hari ini, usia bumi sudah menjangkau 4.54 juta tahun dan dari awal kewujudannya hingga kini, seramai 106.5 billion umat manusia telah menjadi penghuninya. Manusia pertama Adam A.S, dicipta bersama semangat ingin tahu, hingga manusia terakhir yang lahir pun pasti akan memiliki semangat itu. Kita sedar,ilmu manusia Cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan.Tetapi kerana percaya,di sisi Tuhan apa yang lebih berat timbangannya adalah tinta para ulama’ berbanding darah para syuhada’,maka kita masih meneruskan penerokaan ilmu. Kewujudan ilmu tidak pernah membeza-bezakan siapakah penuntutnya.Dari golongan raja dan pemimpin tertinggi, hinggalah kelompok marhaen atau hamba abdi,ilmu tersedia untuk sesiapa yang gigih mencari.Nilai sebenar ilmu terletak pada bagaimana kita melihat dan memahami falsafahnya.

Saudara dan saudari, anda pasti tidak percaya, 40 kali, Ibnu Sina mengulang baca kitab Metafizika karya Aristotle yang memiliki 14 buku dan 13 bahagian. Gaius Plinius Secundus menghabiskan 2/3 dari umurnya semata-mata untuk menuntut ilmu, dan Imam As-Syafie terpaksa menulis dengan menggunakan pelepah kurma, tetapi Berjaya mengarang 174 kitab sepanjang riwayatnya. Saya bukanlah manusia paling layak untuk mengajar anda apa itu ilmu yang sebenarnya tetapi itulah gambaran gigihnya tokoh-tokoh terdahulu menuntut ilmu.Hari ini berbeza, kita begitu taksub pada segulung ijazah kononnya itulah lambang orang berilmu dan berhikmah. Ramai yang mengaku tahu membaca tetapi buta pada hurufnya, mengaku tahu mengira tetapi tidak mengenal angka, mengaku tahu menulis, tapi pandangan dan ideanya muflis.Bagi kita, ilmu sekadar dicari untuk diaplikasi bukan diteroka kerana kecintaan kita terhadapnya.

Hadirin dan hadirat sekalian

Selepas kita memahami kepentingan ilmu untuk setiap individu, maka kita perlu lebih memahami kepentingan ilmu dalam setiap lapis masyarakat.

Kerana itulah, sejarah Rom Kuno mampu bermula di sebuah desa kecil di Itali tengah.Desa yang sederhana ini tumbuh menjadi sebuah metropolis dan Berjaya menakluk seluruh Itali, selatan Eropah, dan Timur Tengah.Tamadun Mesir, tamadun China atau Tamadun India yang amat gemilang juga berkongsi rahsia yang sama. Hatta Cristopher Columbus takkan kenal benua Amerika tanpa 120 orang pelaut, Vasco Dagama takkan menjumpai laluan ke India tanpa 170 orang pengikut, dan Laksamana Cheng Ho takkan menjadi penjelajah terkenal tanpa 27 000 pengikut yang tajam akal.

Bagi memastikan ilmu terserak dalam nadi setiap rakyat, Jepun tidak pernah malu menggunakan system pendidikan Hanko dan Terakoya, tidak malu menulis dengan tulisan Kanji dan Katagana, maka bangsa Malaysia juga seharusnya percaya bahawa kita juga mampu untuk membina tamadun dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kerana itulah kerajaan berkobar-kobar bagi memastikan tiada keciciran dalam pendidikan, akhirnya kadar buta huruf dikurangkan sehingga 7.4 %. Bahkan saya, anda dan kita semua percaya, tamadun takkan terbina andai ilmu tidak dikongsi dan dibangunkan di kalangan masyarakat.

Saudara dan saudari,

Raja Phra Bat Somdet Phra PoraminTharamaha Chulalongkorn Phra Chunla Chom Klao Chao Yu Hua Pikness Surasunggat, Alfred Russel Wallace dan Karamchand Mohandas Mahatma Gandhi percaya hanya ilmu yang bisa membebaskan kita daripada belenggu penjajahan, penindasan, kesempitan, kedaifan dan kemiskinan. Pemimpin-pemimpin ini sudah tiada lagi dan adakah ini bermakna pucuk ilmu dan akar budaya juga sudah mati?

Maka hari ini kita bimbang, ramai yang menuduh bahasa kita bahasa kampong, bukan bahasa ilmu. Bahasa kelas kedua dan kita malu menuturkannya.Lalu, yang dihina, yang ditertawa, yang diperkosa dan yang dipijak itu apa? Bahasa ibunda kita..

Kerana buta pada makna ilmu, dari bahasa, cara berpakaian, cara berfikir, cara bertindak, kita angkat, kita puja, kita agungkan budaya luar.

Akhirnya yang kita bunuh yang kita kapan dan yang kita kuburkan itu apa? Bangsa dan Negara kita.

Maka bangunlah. Siapa pun anda, orang Aborigin Australia, org asli Malaysia, Cebuano di Filipina dan Garifuna Garinagu di Amerika.

Ilmu tidak pernah membeza-bezakan siapa penuntut dan siapa penyebarnya. Hanya melalui ilmu kita mampu mengesat air mata anak2 kosovo, menghentikan tangisan anak palestin, merawat alam yang semakin sakit dan sengsara.dunia dalam kegelapan.maka benar lah kalam pencipta, ilmu adalah cahaya.

Maka akhirnya saya  tinggal kan anda untuk kita merenung seketika. Benar membina sebuah ketamadunan tidak sesingkat awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Tetap iadalah lebih benar asas tamadun adalah ilmu, ilmu dan ilmu.

PABM 2011- Amirrudin Abdul Rahman Universiti Putra Malaysia.

credit buat saudara khairulafsan untuk teks pidato ini.

§ 6 Responses to Orator dan Fakta

  • gebu says:

    Wahhh!!!!! Sangat hebat!!!!

  • kucaimemorynurheaven says:

    saya suka ketika membaca mengenai ini…ia bagaikan menyentuh sanubari saya tanpa disedari..memangdiakui bahawa ramai orang beranggapan bahawa bahasa melayu bahasa kedua..ini tidak terkecuali bagi rakyat malaysia yang hanya mencintai bahasa rojak (english_bahasa melayu)…

  • FBI says:

    mcm mana nak buat teks yang sgt bagus begini?

  • rabiatul says:

    asalamualaikm izinkan saya menggunkan teks pidato ini utk saya bawa bertnding di up

  • fithri says:

    Assalamualaikum. Susah utk sy melupakan pidato beliau. Sambil membaca, masih terngiang-ngiang suara beliau dahulu semasa di PICC. Beliau telah menyampaikannya dgn penuh keikhlasan sehingga menyentuh hati dan menginsafkan para pendengar.

  • hamba allah says:

    nice speach. saya nk mimta kbnran ambk idea2 saudra bleh?

Leave a comment

What’s this?

You are currently reading Orator dan Fakta at Debat dan Orator: Terkini dan Alumni.

meta